Ahad, 16 November 2008

5r!kAnd! !5LaM

Role Model: Naelah Al Farafisyah

Naelah al Farafisyah seorang srikandi Islam yang terulung di zaman Khalifah Uthman al Affan. Beliau merupakan isteri dan penyejuk hati kepada Khalifah Uthman al Affan. Memiliki akhlak yang terpuji sebagai muslimah dan wajah yang menawan hati setiap insan yang melihatnya. Beliau merupakan sayap kiri kepada perjuangan Khalifah yang sukar untuk ditukar ganti dan juga seorang isteri yang ikhlas, setia dan taat kepada suami tersayang.

Ayah beliau seorang penganut agama nasrani, bukan dari golongan Quraisy. Namun disebabkan kelebihan yang ada pada dirinya menjadikan Naelah tetap menonjol di kalangan para muslimah ketika itu. Kecantikan rupa paras, kebijaksanaan dalam apa jua bidang, kefasihan lidahnya berbicara serta kematangan fikirannya dalam membuat keputusan menjadikan beliau tokoh srikandi Islam yang disegani di mata dunia.

Beliau juga banyak membantu khalifah dalam perjuangan menegakkan risalah suci di persada dunia. Peristiwa pengepungan yang berlaku selama 50 hari di rumah Khalifah benar-benar menguji tahap keimanan dan kesabaran hatinya. Beliau tidak pernah berjauhan dengan Khalifah, sentiasa memberikan semangat dan keyakinan kepada suaminya agar terus thabat dan sabar dalam meneruskan perjuangan suci ini.

Pada ketika itu pemberontak tidak henti-henti menyerang rumah Khalifah dengan batu-batu dan panah-panah. Akibat dari peristiwa ini tiga orang telah terbunuh. Walaupun Abdullah telah membuat perjanjian bertulis dengan orang ramai agar tidak mencederakan Khalifah, namun ada juga yang mengingkarinya. Pembelotan tersebut diketuai oleh Muhammad bin Abu Bakar.

Ketika Muhammad bin Abu Bakar bersama seorang sahabat memanjat rumah Khalifah, Naelah menjengukkan kepalanya di tingkap tanpa menutupi rambutnya. Lalu ditegur Khalifah.

“Naelah, tutupilah rambutmu kerana ia lebih besar nilai dari nyawaku ini.”

Namun Nelah tidak mengendahkan teguran tersebut kerana yang lebih penting baginya adalah menyelamatkan nyawa suami tercinta.

Tatkala kedua-dua pembelot itu berada di hadapannya, Naelah sudah bersedia untuk melindungi suami yang dikasihi. Lelaki pertama cuba menyerang Khalifah dengan pedangnya, namun dihalang oleh Naelah dengan tangan beliau hingga putus jejarinya. Kemudian Muhammad bin Abu Bakar menghayunkan pedangnya pula, tetapi ditahan oleh Naelah dengan tangan yang lain dan putus jejarinya. Kemudian dengan kejam Muhammad bin Abu Bakar mencabut janggut Khalifah, memukul kepala dan menikam beliau. Tanpa ada sedikit pun rasa belas kasihan di hati, Muhammad bin Abu Bakar telah menyelar tubuh Khalifah hidup-hidup. Namun apabila Muhammad bin Abu Bakar hendak memenggal kepala Khalifah, Naelah menahan tubuhnya bersama Syibah. Malangnya mereka berdua ditolak dan dipijak-pijak.

Selepas peristiwa pembunuhan Khalifah, tidak seorang pun yang berani untuk menguruskan dan memandikan jenazah beliau. Sehinggalah Naelah menghantar utusan kepada Jubair bin Hizam dan Hawatib bin Abdullah al Uzza. Mereka juga tidak berani untuk mengebumikan jenazah beliau pada siang hari, akhirnya terpaksa dikebumikan antara waktu maghrib dan isyak, Naelah mendahului mereka dengan membawa lampu kecil untuk menerangi kegelapan malam.

Peristiwa pembunuhan Khalifah inilah yang membawa kepada pertelingkahan dan perselisihan dua puak di antara Muawiyah dan Saidina Ali. Justeru, ratusan ribuan nyawa umat Islam terkorban akibat dari peristiwa ini. Bagi mendamaikan antara puak ini, Naelah telah menghantar surat kepada Muawiyah yang berbunyi, “Jika dua golongan dari kaum itu berperang hendaklah kamu damaikan antara keduanya. Sekiranya salah satu keduanya melanggar perjanjian kepada yang lain, maka perangilah mereka itu sehingga mereka kembali kepada Allah.”

Surat tersebut dihantar bersama pakaian Khalifah yang telah koyak dan dipenuhi darah. Pada butang bajunya diikat janggut khalifah yang dicabut oleh Muhammad bin Abu Bakar. Beliau juga turut mengirimkan lima jarinya yang terpotong sebagai tanda telah berlaku pembelotan dan pembunuhan ke atas khalifah.

Selepas kewafatan suaminya, Naelah terus diselubungi kesedihan yang teramat sangat sehingga datang Muawiyah meminang beliau. Tetapi pinangan tersebut ditolak mentah-mentah, untuk mengelakkan dirinya terus dipinang,beliau telah mencabut dan mematahkan gigi sehingga orang ramai kehairanan. Ada yang bertanya kepada beliau, “Mengapa kamu mematahkan gigi-gigimu yang cantik itu?”

Jawapan yang beliau berikan, “saya tidak mahu kesedihan saya terhadap Uthman menjadi pudar sebagaimana pudarnya kain-kain buruk dan saya juga tidak mahu lelaki mengetahui apa yang ada pada diriku sebagaimana yang telah diketahui oleh Uthman.”

Kata-kata tersebut adalah lambang kecintaan dan kesetiaan beliau kepada suami tercinta yang telah dibunuh di hadapan mata kepalanya sendiri. Beliau juga banyak menggubah syair dan sajak yang diabadikan untuk suaminya. Juga tidak ada perkahwinan kedua dalam hidupnya selepas Khalifah Uthman.

Naelah al Farafisyah lambang peribadi mulia seorang srikandi Islam yang sanggup menggadaikan jiwa raganya demi mempertahankan suami tersayang dan Islam tercinta di zaman beliau.